Friday, May 29, 2009

Beberapa Pendapat Imam Syafie

AbuUmair

Apabila disebut nama Imam Syafie, rata-rata umat Islam mengenalinya. Apatah lagi di negara seperti Malaysia, yang majoriti umat Islam bermazhab Syafie. Pun begitu, ada pendapat atau pegangan Imam besar ini yang tidak popular di negara kita, atau sengaja tidak dipopularkan.

Antaranya:

1) Imam Syafie berakidah Allah Taala berada di atas Arasy.

Imam Syafie berkata: “Pegangan dalam sunnah yang aku berada di atasnya, dan dipegang oleh mereka yang aku temui seperti Sufian, Malik dan lain-lain ialah menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar selain Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, dan Allah berada di atas arasyNya di langitNya, mendekati makhlukNya sebagaimana Dia kehendaki, turun ke langit dunia sebagaimana Dia kehendaki”. Al-Uluw oleh Al-Zahabi (hlmn: 165), Ijtima’ Al-Juyusy Al-Islamiyyah (hlmn: 165).
2) Imam Syafie menegaskan kewajipan beriman dengan segala sifat Allah, dan sifat Allah hendaklah dipelajari melalui syarak, bukan dengan akal.

Kata Imam Syafie: “Allah Taala mempunyai nama-nama dan sifat-sifat. Tidak boleh seseorang pun menolaknya. Sesiapa yang menyalahi selepas tertegak hujah di hadapannya, maka dia menjadi kufur. Manakala sebelum tertegaknya hujah, dia dimaafkan dengan alasan jahil. Kerana ilmu tentangnya tidak dapat diperolehi dengan akal, pandangan, dan fikiran”. (Fathul Bari 20/494)

3) Imam Syafie berpendapat pahala bacaan Al-Quran tidak sampai kepada si mati.

Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”. (Al-Najm: 39).
Ibn Katsir berkata, “Daripada ayat yang mulia ini, Imam Syafie -rahimahullah- dan mereka yang mengikutinya mengeluarkan hukum bahawa pahala hadiah bacaan (Al-Quran) tidak sampai kepada orang-orang yang mati”. (Tafsir Ibn Katsir: 7/465).

4) Imam Syafie melarang bersembahyang berimamkan orang Syiah.

Al-Buwaitiy (murid Imam Syafie) bertanya kepada Imam Syafie, “Bolehkah aku bersembahyang di belakang orang Syiah?”

Imam Syafie berkata, “Jangan bersembahyang di belakang orang Syiah, orang Qadariyyah, dan orang Murjiah”

Al-Buwaitiy bertanya pula tentang sifat-sifat mereka. Lalu Imam Syafie menyifatkan, “Sesiapa yang mengatakan Abu Bakr dan Umar bukan imam, maka dia Syiah”. (Siyar A’lam Al-Nubala 10/31).

5) Imam Syafie mencela kumpulan sufi.

Imam Syafie berkata: “Kalau seorang lelaki bertasauf pada awal pagi, tidak sampai waktu Zohor kamu akan mendapati dia sudah menjadi bebal”. (Manaqib Al-Syafie 2/208)

Kata beliau lagi: “Tidak ada seorang pun melazimi golongan sufi selama 40 hari, kemudian akalnya boleh kembali (seperti sediakala)”. (Talbis Iblis: 371)

Kata beliau lagi: “Seorang sufi tidak menjadi sufi melainkan ada padanya empat sifat:
- sangat malas
- banyak makan
- banyak tidur
- banyak cakap kosong”.
(Manaqib Al-Syafie 2/208).

6) Imam Syafie mencela orang yang mendalami ilmu kalam.

Kata Imam Syafie: “Hukumanku terhadap ahli kalam ialah mereka hendaklah dipukul dengan pelepah-pelepah, diusung di atas unta, dan bawa mengelilingi kabilah-kabilah. Dilaungkan kepada mereka: Inilah balasan orang yang meninggalkan Kitab dan Sunnah, dan mempelajari ilmu kalam”. (Tawali al-Ta’sis: 64).

7) Imam Syafie mewajibkan tunduk kepada dalil, bukan taksub kepada imam.

Kata Imam Syafie: “Ulama telah berijmak (sepakat) bahawa sesiapa yang telah nyata baginya sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tidak halal dia meninggalkannya kerana mengikut pendapat seseorang”. (Madarij al-Salikin 2/335).

Kaedah-Kaedah Mengenal Hadith Palsu

Oleh: al-Ustaz Abu Umaimah Mohd Arif bin Nazri

Ulama-ulama hadith memang terkenal dengan usaha-usaha agung mereka dalam memelihara hadith-hadith Rasulullah SAW daripada dicemari oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Di antara usaha-usaha murni mereka ialah memgenal pasti hadith-hadith palsu serta mengadakan kaedah-kaedah am atau garis panduan untuk mengenali hadith-hadith tersebut.

Menurut Syeikh Umar bin Hasan Uthman Fallatah dalam tesis Phd beliau yang bertajuk الوضع في الحديث , sebahagian kaedah-kaedah tersebut ada yang bersifat umum berkenaan sifat-sifat kepalsuan hadith dan ada yang lebih bersifat terperinci. Ini semua hasil daripada penelitian yang berterusan dan istiqra’ yang menyeluruh terhadap sanad-sanad hadith berserta matan-matanya yang akhirnya membolehkan untuk mereka merumuskan perkara tersebut.

Antara kaedah-kaedah atau tanda-tanda khusus tersebut adalah:

1. Setiap hadith yang menyebutkan (pada teksnya) iman itu bertambah atau berkurang, atau sebaliknya tidak bertambah dan tidak berkurang, maka matan-matan sedemikian adalah palsu atau maudhu’

2. Setiap hadith yang menyebutkan bahawa al-Quran itu makhluk, atau bukan makhluk, begitu juga mana-mana hadith yang menyatakan ancaman terhadap orang yang berkata sedemikian ( makhluk atau tidaknya al-Quran) kesemuanya adalah palsu.

3. Kesemua hadith yang mengisbatkan disyariatkan untuk mengelap anggota wudhu selepas berwudhu juga tidak ada yang sahih.

4. Hadith yang menetapkan tempoh minimum bagi haidh begitu juga tempoh maksimum.

5. Setiap hadith yang menyebut; barangsiapa berbuat amalan tertentu mendapat pahala seorang Nabi atau lebih. Maka kesemuanya adalah palsu.

6. Mana-mana hadith yang menyatakan adanya solat-solat sunat pada malam-malam tertentu atau pada siangnya, seperti solat malam Ahad atau Isnin atau pada setiap hari daripada seminggu. Tidak ada satu pun yang sahih dari Nabi.

7. Hadith solat Ragha’ib الرغائب (solat sunat pada malam pertama bulan Rajab)

8. Hadith solat khas malam Nisfu Sya’ban.

9. Hadith solat sunat hari Asyura’ عاشوراء begitu juga galakan untuk melakukan perkara-perkara lain seperti bercelak, berhias, mengadakan kenduri. Kesemuanya tidak thabit dari Nabi melainkan hadith-hadith berkenaan puasa pada siangnya.

10. Hadith-hadith berkenaan puasa pada bulan Rajab dan solat pada sebahagian malamnya.

11. Hadith-hadith yang melarang atau tidak menggalakan pernikahan sebaliknya menggalakan hidup berseorangan العزوبة.

12. Hadith-hadith yang menggalakan untuk menyimpan perempuan, dengan anggapan bahawa perempuan sedemikian memiliki rahim-rahim yang diberkati.

13. Hadith-hadith yang mencela zuriat dan galakan untuk tidak beranak yang kononnya Allah tidak lagi berhajat kepada mana-mana anak yang dilahirkan selepas seratus tahun dari kewafatan nabi.

14. Hadith-hadith yang menyebutkan akan Khidr dan pertemuanya dengan Rasulullah, Ilyas dan Jibril pada setiap tahun di Arafah.

15. Hadith yang mengisbatkan bahawa nabi menta’yinkan (menyatakan dengan menyebut nama seseorang) sebagai khalifah selepasnya.

16. Mana-mana hadith yang ada disebutkan lafaz Ya Humaira’ يا حميراء atau al-Humaira’ الحميراء

17. Hadith-hadith manaqib Muawiyah معاوية atau keburukanya secara langsung atau yang mencela Amru ibnu ‘Ash.عمرو بن العاص

18. Hadith-hadith yang mencela Abu Musa al-‘Asyari أبو موسى الأشعري .

19. Hadith-hadith yang mencela Marwan bin al-Hakam atau al-Walid bin Abdul Malik.

20. Hadith-hadith yang menaskan khilafah untuk anak al-‘Abbas atau yang mengharamkan mereka daripada neraka, juga yang memuji ahli Khurasan yang keluar bersama Abdullah bin Ali bin al-Abbas atau mana khulafa Bani Abbas atau yang memuji al-Mansur, al-Saffah atau al-Rasyid.

21. Hadith-hadith yang menyebutkan manaqib مناقب (kebaikan) imam-imam mazhab yang empat dengan nama-nama mereka begitu juga yang mencelanya.

22. Setiap hadith yang memuji Baghdad (بغداد) Basrah (بصرة) Kufah(الكوفة) Marwu (مرو) Asqalan (عسقلان) Iskandariah (الاسكندارية) Antakiah (الأنطاقية) atau mencelanya. Begitu juga yang menyebutkan pada permulaanya ‘bandar ini Bandar syurga atau bandar itu Bandar neraka.

23. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan al-Khalil الخليل (Palestin) begitu juga as-Sakhrah (الصخرة) .

24. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan setiap surah al-Quran satu persatu,

25. Hadith-hadith yang mencela Habasyah, Sudan, Turki, Mamalik, dan Khasiyan.

26. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan ayam jantan dan galakan untuk membelanya, tidak ada hadith yang thabit berkenaan tersebut melainkan dua hadith, Pertama: “janganlah kamu mencela ayam jantan kerana ia mengejutkan kamu untuk solah” (H.R Abu Dawud dalam bab hadith-hadith berkenaan ayam jantan dan binatang-binatang ternak). Kedua: “Apabila kamu mendengar kokokan ayam maka mintalah kepada Allah akan kelebihan-kelebihanya kerana ia telah melihat malaikat…” (H.R Ahmad dan lain-lain). Kedua-duanya adalah sahih. Begitu juga hadith-hadith berkenaan membela merpati dan ayam betina.

27. Hadith-hadith yang memuji kacang Dal, beras, Baqilla’ الباقلاء ( sejenis tumbuhan rumpai) terung, delima, kismis, tembikai, Kurrath الكراث dan Hindia’ الهندباء ( kedua-duanya sejenis tumbuhan), lobak, dan keju.

28. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan beberapa jenis bunga seperti Nirjisiah, Ward (ros), al-Ban, dan Marzinjusy.

29. Hadith-hadith yang memuji inai dan kelebihannya, melainkan hadith riwayat Abu Daud: sebaik-baik yang kamu gunakan untuk mengubah putih uban ialah Hinna’ الحناء dan Katam الكتم( jenis dedaun seperti inai)

30. Hadith-hadith yang menyebut rupa paras yang cantik dan memujinya dan menggalakan memandang kearahnya serta meminta bantuan darinya, begitu juga yang menyatakan bahawa neraka tidak akan menyentuhnya.

31. Hadith-hadith yang melarang tabarrum تبرم (menyebut secara marah dan putus asa) tatkala menunaikan hajat manusia.

32. Kesemua hadith yang melarang dari mencela Baraghithالبراغيث ( sejenis binatang kecil seperti pepijat)

33. Hadith yang menyatakan sesiapa yang diberikan sesuatu hadiah maka orang yang ada bersamanya sama-sama ada hak terhadap hadiah tersebut.

34. Hadith yang menggalakan untuk memakai cincin daripada batu Aqiq.

35. Hadith-hadith yang menyatakan keharusan atau pengharaman bermain catur.

36. Hadith-hadith yang menyebutkan jenis-jenis wali seperti yang masyhur dalam dunia kesufian seperti al-Abdal الأبدال, al-Aqthab الأقطاب, al-aghwat الأغواث, al-Nuqaba’النقباء, al-Nujabaالنجباء, dan al-Awtadالأوتاد

37. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan aqal.

38. Hadith-hadith yang menyebutkan طنين الأذنان bunyi-bunyian dengungan telinga.

39. Setiap hadith yang menyebut tarikh-tarikh tertentu di masa akan datang atau yang menyebutkan pada tahun sekian berlakunya sekian atau yang seumpama denganya.

Inilah di antara ciri-ciri khusus terhadap hadith palsu. Maka apabila terdapat mana-mana hadith yang mengandungi lafaz lafaz sebagaimana yang disebutkan maka dikhuatiri ianya adalah hadith yang palsu. Tidak dinafikan ada di antara perkara-perkara yang disebutkan itu benar dari sudut fakta dan hakikatnya tetapi yang menjadi kesalahannya disini ialah menyandarkanya kepada Rasulullah S.A.W, beliau sendiri telah memberi amaran keras berkenaan ini dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya

إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta ke atasku tidaklah sama seperti berdusta keatas orang lain, maka sesiapa yang telah berdusta keatas ku secara sengaja maka siapkanlah tempat duduknya di dalam neraka.” ( H.R al-Bukhari: 1291, Muslim)

Tasawuf Di Bawah Lembayung Hindu Dan Farsi

Oleh: Muhammad Asrie Bin Sobri

Ibrahim bin Adham telah mengambil akidah ini dan berkata:

من تعوّد أفخاذ النساء لم يفلح

Maksudnya: “Sesiapa yang selalu bermain dengan peha wanita (hubungan seks dengan isteri) dia tidak akan berjaya” [Qutul Qulub, Abu Tolib al-Makki, 2/210]

Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang meletakkan Seks antara suami isteri sebagai Ibadah sepertimana dalam hadis:

عَنْ أَبِى ذَرٍّ أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالُوا لِلنَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالأُجُورِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّى وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ « أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ « أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ ».

Maksudnya: Daripada Abu Zarr r.a bahawa sekumpulan manusia daripada Sahabat-sahabat Nabi s.a.w berkata kepada Nabi s.a.w: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya memperoleh pahala yang lebih kerana mereka bersolat seperti kami bersolat, berpuasa seperti kami berpuasa, dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka”. Kata Rasulullah s.a.w: “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu bahagian untuk kamu bersedekah, sesungguhnya setiap tasbih yang kamu sebut adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran adalah sedekah, dan pada kemaluan kamu juga sedekah”. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, adakah kami mendatangi syahwat kami lalu kami diberi pahala?” Jawab Rasulullah s.a.w: “Bukankah jika kamu meletakkan kemaluan kamu di tempat yang haram (berzina) adakah kamu berdosa maka demikian juga jika kamu meletakkannya di tempat yang halal bagi kamu pahala”. [Muslim & Ahmad].

Para Fuqaha Islam sangat menitik beratkan berkaitan hubungan seks suami isteri ini sehingga ada di antara mereka yang berpandangan wajib suami isteri itu melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya sekali selepas setiap kali si Isteri suci daripada haid.

Allah Taala telah meletakkan hubungan jenis antara suami isteri sebagai lambang dan tanda kekuasaanNya sebagaimana dalam surah al-Rum ayat 21:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, Bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Saidina Ibn Abbas r.a, al-Hasan r.a, dan Mujahid r.h mentafsirkan makna al-Mawaddah dalam ayat ini sebagai Jimak (Seks) dan al-Rahmah seabagai anak-anak. Demikianlah Islam memandang tinggi hubungan mesra suami isteri ini namun ajaran Tasawuf yang sangat membenci Islam itu telah menghina ibadah yang sangat mulia ini.

Abu Nasr al-Siraj al-Tusi dalam kitabnya al-Luma’ meriwayatkan bahawa Abu Ahmad al-Qalanisi berkahwin selama 30 tahun tidak menyentuh isterinya. [al-Luma’ fi al-Tasawuf, 199].

Abu Sulaiman al-Darani menyatakan: “Tiga perkara yang jika seseorang lakukan maka dia telah cenderung kepada dunia: Mencari rezeki, berkahwin, dan menulis hadis”. [Ihya’ Uludmuddin, 1/379].

Pernyataan ini menunjukkan bahawa kaum sufi juga membenci untuk menuntut ilmu hadis dan ini merupakan sesuatu yang sangat bahaya.

Memang tidak dinafikan bahawa terdapat pernyataan daripada kaum sufi ini yang menunjukkan mereka menggalakkan perkahwinan seperti kata al-Junaid al-Baghdadi: “Aku memerlukan Jimak seperti aku memerlukan makan”. [Qutul Qulub, 2/221].

Perumpamaan al-Junaid ini perlu difahami pula pandangan beliau berkenaan makan itu sendiri. Kaum Sufi itu adalah kaum yang kurang makan dan mereka suka berlapar. Al-Junaid berkata: “Tidak lah kami ambil Tasawuf ini daripada perkataan itu dan ini tetapi kami mengambilnya daripada berlapar, meninggalkan dunia, dan meninggalkan kebiasaan manusia”. [Siyar A’lam al-Nubalaa, 14/69].

Demikian juga sebahagian mereka melarang perkahwinan kepada para murid yang berada di peringkat mubtadi (permulaan) dan dibenarkan berkahwin setelah itu. Ini adalah akidah Hindu yang 100% tanpa syak lagi sebagaimana yang kami terangkan sebelum ini.

Abu Sulaiman al-Darani juga berkata: “Aku tidak melihat seorang pun daripada kaum kami yang berkahwin lalu dia terus kekal dalam martabatnya yang pertama”. [Ihya’ Ulumuddin, 1/379].

Demikian juga kaum Sufi mempunyai ritual yang dikatakan sebagai ‘Berlapar’. Ritual berlapar ini dikenakan kepada setiap murid mubtadi dan ini jelas daripada akidah Hindu berdasarkan kenyataan dalam Kitab Manu, Bab ke-2, 177-182: “Diharamkan kepada murid meminum arak, memakan daging, memakai wangian, mendekati wanita...” [Dirasat fil Yahudiah wal Masihiah wa Adyan al-Hind, 584].

Abu Tolib al-Makki menyatakan terdapat empat perkara yang dapat membantu murid melaksanakan pembersihan hati iaitu: Berlpar, berjaga malam, berdiam diri (tidak bercakap), dan bersunyian diri (Khalwat/Uzlah). [Qutul Qulub, 1/132]. Abu Talib juga menyatakan susunan makanan bagi seorang murid: “Sesiapa yang hendak mengikut jalan ini maka hendaklah dia mengurangkan setiap kali makan ¼ roti kepada 1/7 maka dengan itu dia tidak makan sebiji roti penuh selama sebulan secara beransur-ansur”. [Qutul Qulub, 2/109].

Ukuran tahap lapar seseorang pula menurut Abu Tolib adalah jika menurut waktu dapat diukur dalam masa 24 jam ke 72 jam. Dapat juga diukur jika kamu dapat makan roti tanpa kuah (kerana terlalu lapar) atau sehingga kamu sangat berkehendak kepada roti sehingga semua benda kelihatan seperti roti kepada kamu. Makan sehingga kenyang pula menurut sebagian Ulama Tasawuf adalah fasiq sehingga ada orang Sufi yang diberitahu anaknya makan sehingga kekenyangan lalu dia berkata: Jika anakku mati dalam keadaan itu aku tidak akan mensolatkan jenazahnya. Adapun berpuasa pula menurut mereka bukanlah jalan penyelesaian terhadap usaha membersihkan jiwa kerana seseorang itu akan bersyahwat semual ketika berbuka. [Qutul Qulub, 2/109].

Kaum Sufi juga ada yang diriwayatkan berlapar selama berhari-hari bahkan berbulan-bulan dan apabila mereka makan, mereka makan sesuatu yang bukan makanan seperti jerami gandum sebagaimana yang diriwayatkan daripada Sahl dan Zun Nun al-Msiri. [Akidah & Suluk dalam Tasawuf, 387].

Demikian juga mereka enggan memakan daging sebagaimana Imam Ibn al-Jauzi r.h menyatakan bahawa kaum Sufi berkata: “Makan daging sebanyak satu dirham itu mengeraskan hati selama 40 hari”. Ada antara mereka yang hanya minum air sejuk, ada pula yang hanya minum air panas, dan Abu Yazid al-Bustami pula tidak memakan makanan manusia biasa selama 40 tahun. [Talbis Iblis, m.s 259].

Amalan berlapar ini amat jelas diambil daripada agama Hindu (Adyan al-Hindi al-Kubra) kerana semua ajaran Hindu sama ada Brahman, Buddha, dan Jiniah meletakkan berlapar sebagai jalan mencapai kesucian jiwa.
Akidah Hindu meletakkan bahawa berpuasa dalam mafhum agama hindu adalah berlapar dengan tidak makan selama beberapa hari atau hanya makan makanan tertentu tanpa jenis yang lain atau makan hanya pada satu waktu sahaja dalam sehari seperti malam sahaja atau tengah hari sahaja dan seumpamanya tidak saling tumpah seperti ritual berlapar Sufi yang kami jelaskan. [Dirasat fil Yahudiah wal Masihiah wa Adyanil Hind, 604].

Cukuplah dalil bahawa amalan ini bukan daripada Islam hadis yang sahih dikeluarkan Imam al-Bukhari, Muslim, dan lainnya yang telah kami sebutkan di atas dan akan kami ulang sekali lagi kerana pentingnya, daripada Saidina Anas bin Malik r.a kata beliau:

جاء ثلاث رهط إلى بيوت أزواج النبي صلى الله عليه و سلم يسألون عن عبادة النبي صلى الله عليه و سلم فلما أخبروا كأنهم تقالوها فقالوا أين نحن من النبي صلى الله عليه و سلم ؟ قد غفر الله له ما تقدم من ذنبه وما تأخر قال أحدهم أما أنا فإني أصلي الليل أبدا وقال آخر أنا أصوم الدهر ولا أفطر وقال آخر أنا أعتزل النساء فلا أتزوج أبدا فجاء رسول الله صلى الله عليه و سلم فقال ( أنتم الذين قلتم كذا وكذا ؟ أما والله أتي لأخشاكم لله وأتقاكم له لكني أصوم وأفطر وأصلي وأرقد وأتزوج النساء فمن رغب عن سنتي فليس مني

Maksudnya: “Telah datang 3 orang Sahabat ke rumah Isteri Nabi s.a.w bertanya berkenaan ibadah Nabi s.a.w namun setelah diceritakan kepada mereka, mereka seolah-olah berasa terlalu sedikit lalu berkata: ‘Di manakah kedudukan kita jika hendak dibandingkan dengan Nabi s.a.w? Allah telah ampunkan dosa baginda yang lalu dan akan datang’. Berkata salah seorang mereka: ‘Adapun aku, akan sentiasa bersolat malam selama-lamanya’. Berkata seorang lagi: ‘Aku akan berpuasa dan tidak akan berbuka’, dan berkata seorang lagi: ‘Aku akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin’. Lalu datanglah Rasulullah s.a.w lalu bersabda: “Kamu kah yang berkata demikian dan demikian? Adapun demi Allah, sesungguhnya aku adalah yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa dalam kalangan kamu tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur, dan aku berkahwin, maka sesiapa yang enggan mengikut sunnahku maka dia bukan daripada (umat) ku”.

Hadis ini merupakan kata pemutus bahawa ibadat kaum Sufi adalah ibadat yang bidaah dan tidak ada bidaah hasanah dalam agama Islam yang mulia ini. Jelas sekali bahawa Nabi s.a.w tidak merestui tindakan sahabat-sahabat baginda memilih jalan hidup ‘Tasawwuf’ ini kerana yang baginda ajar adalah Zuhud (beserdehana) bukan Tasawwuf (melampau dalam beribadat).

Kemuncak persamaan Tasawuf dan Agama Hindu adalah akidah al-Fana’ atau lebur yang sama sekali dengan akidah Hindu, Nirvana. Semua rahib, pendeta, dan sami Hindu berjuang untuk menuju Nirvana di mana mereka akan bersatu dengan Tuhan.

Nirvana menurut ajaran Buddha adalah pembebasan diri daripada belenggu-belenggu kesusahan hidup dan mencapai kebersihan ruh, melepaskan diri daripada belenggu ubudiah dan kelazatan dan terpancarnya cahaya makrifat melalaui penyeksaan diri, melawan kehendak nafsu, disamping berusaha memberikan tumpuan dan fokus jiwa. [al-Mausuah al-Muyassarah lil Adyan wal Mazahib wal Ahzab al-Muasarah].

Al-Fana pula daripada segi takrif akhlaknya seperti mana kata al-Qusyairi: ‘Gugurnya sifat-sifat tercela’ dan mencapai al-Baqa’ iaitu bersifat dengan sifat-sifat terpuji. Jalan untuk mencapai al-Fana’ sebagaimana kita jelaskan tadi adalah berlapar, diam, uzlah, dan sebagainya daripada bentuk penyeksaan diri. Maka tidak lari sama sekali konsep Nirvana dalam agama Buddha dengan al-Fana dalam Tasawuf. [al-Risalah al-Qusyairiah, 1/36].

Adapun konsep al-Fana’ yang lebih mendalam sama sekali dengan konsep Nirvana dalam ajaran Hindu Brahma iaitu: “Selamatnya ruh daripada bertanasukh dan kembali bersatu dengan asalnya yakni Tuhan (Brahma)”. [Dirasat fil Yahudiah wal Masihiah wa Adyanil Hind, 630].

Adapun dalam akidah Sufi, al-Fana’ adalah: Tenggelam atau hilangnya perasaan wujud daripada diri seorang Sufi sehingga dia tidak sedar lagi akan kewujudannya dan hanya yang dia nampak dan rasa adalah Wujud Allah semata-mata. Ketika Fana ini, Allah akan menjelam (Tajalli) kepada si Sufi tadi sehingga dia tenggelam daripada perasaan dunia dan akhirat dan Fana ini boleh berlaku pada perbuatan sehingga dia tidak melihat ada pelaku atau pembuat kecuali Allah [Akidah Jabariah], Fana daripada Sifat sehingga dia melihat tidak ada yang mendengar, melihat, berkata-kata, dan berkuasa kecuali Allah, Fana daripada Zat sehingga dia tidak merasakan di sana ada zat kecuali zat Allah. [Rujuk: al-Risalah al-Qusyairiah, 1/36, Ma’arij al-Tasyawwuf , Ibn Ajibah, m.s 59, Ihya’ Ulumuddin, al-Ghazali, 3/337].

Mereka yang mengalami Fana ini akan mengucapkan kalimah-kalimah yang pada kaum zahir adalah kufur tetapi kepada kaum batin (Sufi) adalah Iman dan Tauhid seperti perkataan Abu Yazid al-Bustami: “Maha Suci Aku! Maha Agung Aku!” “Aku adalah Lauh Mahfuz!” dan seumpamanya. [Talbis Iblis, 417-418].

Al-Junaid al-Baghdadi ketika ditanya berkenaan ucapan Abu Yazid ini dia lantas menerangkan makna al-Fana’: “Sesungguhnya seseorang itu terbinasa dalam keadaan dia melihat al-Jalal (Allah), maka dia bercakap dengan apa yang membinasakannya, al-Haq (Allah) telah melalaikannya dengan penglihatnnya kepadaNya maka dia tidak melihat kecuali al-Haq maka dia menyifatkanNya”. Kata Imam al-Jauzi: Ini adalah (akidah) Khurafat. [Talbis Iblis, 417].

Hasil ucapan al-Junaid yang digelar Sayyid al-Taifah (Penghulu Kaum Sufi) menjelaskan bahawa semua orang sufi mempercayai akidah al-Fana tetapi kebanyakan mereka menyembunyikan akidah ini dan mencela mereka yang menzahirkannya. Hal ini kita akan bicarakan dalam tajuknya yang tersendiri insya-Allah.
Akidah al-Fana’ ini membawa kepada akidah kaum Sufi boleh melihat Allah Taala dalam keadaan sedar, bukan sekadar melihat Tajalli Jamal Allah dalam mimpi bahkan melihat juga dalam sedar. Ini adalah akidah batil kerana ketika Allah Taala mentajalli cahayaNya kepada bukit, berkecai bukit itu dan Nabi Musa a.s, salah seorang Rasul Ulul Azmi, pengsan dan tidak dapat melihat Allah, maka bagaimana si Sufi yang miskin akidah ini dapat melihat Allah?! [Rujuk perbahasan mengenai melihat Allah Taala di: http://mashoori.wordpress.com ]
Maka secara ringkasnya akidah Fana ini membawa kepada akidah Ittihad yakni bersatunya jiwa makhluk yang suci dengan zat Tuhan yang Maha Luhur setelah jiwa manusia ini melalui proses pembersihan yang pelbagai. Demikianlah jelas sekali pengaruh akidah Buddah dan Brahman terhadap ajaran Tasawuf ini. Wallahua’lam.

Thursday, May 7, 2009

Istiwa' Itu Maklum Maknanya!

Muhammad Asrie Bin Sobrie

Firman Allah Jalla wa ‘Ala:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ أَلَا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari lalu Dia bersemayam di atas Arasy; ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (Semuanya) tunduk kepada perintahNya. ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.” [al-A’raf: 54].

Ayat ini adalah ayat pertama yang membicarakan berkenaan sifat al-Istiwa’ bagi Allah Taala dan diikuti enam ayat lagi iaitu:

Surah Yunus ayat ke-3:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مَا مِنْ شَفِيعٍ إِلَّا مِنْ بَعْدِ إِذْنِهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam hari kemudian ia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan Taatlah kamu kepada perintahNya; Patutkah kamu - setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?”

Surah al-Ra’du ayat ke-2:

اللَّهُ الَّذِي رَفَعَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُسَمًّى يُدَبِّرُ الْأَمْرَ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ بِلِقَاءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ

Maksudnya: “Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian ia bersemayam di atas Arasy; dan ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan Segala urusan; ia menerangkan tanda-tanda kekuasaannya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).”

Surah Taha ayat ke-5:

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Maksudnya: “ Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.”
Surah al-Furqan ayat ke-59:

الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ الرَّحْمَنُ فَاسْأَلْ بِهِ خَبِيرًا
Maksudnya: “Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, Dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, ialah Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah); maka bertanyalah akan hal itu kepada yang mengetahuinya.”
Surah al-Sajdah ayat ke-4:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ مَا لَكُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا شَفِيعٍ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang Penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?”

Surah al-Hadid ayat ke-4:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الْأَرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudanya: “Dia lah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian ia bersemayam di atas Arasy; ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. dan ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha melihat akan apa yang kamu kerjakan.”

Ayat-ayat ini menjelaskan berkenaan sifat Fi’il Allah Taala (Sifat Perbuatan) iaitulah beristiwa’ di atas Arasyh dan diterjemahkan sebagai bersemayam di atas Arasyh.

Arasyh adalah bumbung alam ini dan merupakan makhluk Allah Taala yang paling besar dalam alam ini. Arasyh Allah ini berada di atas langit ke tujuh sebagaimana sabda Rasulullah sallallahua alihi wa sallam:

إن في الجنة مائة درجة أعدها الله للمجاهدين في سبيل الله ما بين الدرجتين كما بين السماء والأرض فإذا سالتم الله فاسألوه الفردوس فإنه أوسط الجنة وأعلى الجنة - أراه - فوقه عرش الرحمن ومنه تفجر أنهار الجنة

Maksudnya: “Sesungguhnya di syurga itu terdapat 100 tingkat yang Allah sediakan bagi para Mujahidin di jalan Allah, jarak antara satu tingkat ke tingkat yang lain sama seperti jarak antara langit dan bumi, apabila kamu meminta kepada Allah, mintalah Syurga al-Firdaus maka ia adalah syurga yang paling tengah dan paling tinggi aku lihat di atasnya terdapat Arasy al-Rahman dan daripadanya terbit sungai-sungai syurga”. [al-Bukhari].

Dan sabda baginda:

إِنَّ اللَّهَ فَوْقَ عَرْشِهِ وَعَرْشُهُ فَوْقَ سَمَوَاتِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah berada di atas ArasyNya dan ArasyNya berada di atas langit-langitNya”. [Abu Daud].

عن العباس بن عبد المطلب قال : كنت بالبطحاء في عصابة . وفيهم رسول الله صلى الله عليه و سلم . فمرت به سحابة . فنظر إليها . فقال ( ما تسمون هذه ؟ ) قالوا السحاب . قال ( المزن ) . قالوا والمزن . قال ( والعنان ) قال أبو بكر قالوا والعنان . قال ( كم ترون بينكم وبين السماء ؟ ) قالوا لاندري . قال ( فإن بينكم وبينها إما واحدا أو اثنين أو ثلاثا وسبعين ستة . والسماء فوقها كذلك ) حتى عد سبع سماوات . ( ثم فوق السماء السابعة بحر . بين أعلاه وأسفله كما بين سماء إلى سماء . ثم فوق ذلك ثمانية أو عال . بين أظلافهم وركبهن كما سماء إلى سماء . ثم على ظهورهم العرش . بين أعلاه وأسفله كما بين سماء إلى سماء . ثم الله فوق ذلك . تبارك وتعالى )

Maksudnya: Daripada al-Abbas bin Abdul Muttalib katanya: “Aku berada di al-Batha’ bersama beberapa orang lagi dan bersama mereka Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam lalu terdapat awan berarak dan baginda memandangnya seraya bersabda: “Apakah yang kamu namakan ini?”Jawab mereka: “al-Sahab” (Awan). Kata baginda: “al-Muzni”. Kata mereka: Ya, juga al-Muzni (Awan). Kata baginda: “al-Anan” kata mereka: Ya, juga al-Anan (awan)”. Kata baginda: “Agak-agak kamu berapakah jaraknya antara kamu dan langit?” Jawab mereka: “Kami tidak tahu”. Sabda baginda: “sesungguhnya antara kamu dan langit sama ada 71,72 atau 73 tahun perjalanan, demikian juga antara langit ke langit”. Baginda menyebut sehingga langit ketujuh lalu berkata: “Kemudian di atas langit ketujuh itu terdapat laut, antara atasnya ke bawahnya seperti jarak antara langit ke langit kemudian di atas laut itu terdapat 8 malaikat dalam bentuk Au’al (Kambing Gunung), jarak antara kuku kakinya ke lututnya seperti jarak antara langit ke langit kemudian di atas belakang mereka terdapat Arasyh, jarak antara atasnya dengan bawahnya sama seperti antara langit ke langit kemudian Allah berada di atas Arasyh itu Tabaraka wa Taala”. [Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah, Ibn Khuzaimah dalam Tauhid, al-Baihaqi dalam al-Asma’ wal Sifat -sahih-]

Ini adalah sebahagian hadis yang menunjukkan Allah Taala bersemayam di atas Arasyh dan terdapat juga hadis yang menggunakan Istilah Allah di langit menunjukkan sifat Istiwa’ dan Uluww (tinggi). Antaranya:

Daripada Anas radiallahu anhu katanya:

قال فكانت زينب تفخر على أزواج النبي صلى الله عليه و سلم تقول زوجكن أهاليكن وزوجني الله تعالى من فوق سبع سماوات

Maksudnya: “Berkata Anas: Adalah Zainab (Isteri Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam) berbangga atas isteri-isteri Nabi sallallahu alaihi wa sallam yang lain dengan katanya: “Kamu semua dikahwinkan (dengan Rasulullah) oleh keluarga kamu sedang aku dikahwinkan Allah Taala dari atas tujuh petala langitNya”. [al-Bukhari].

عن أبي هريرة قال قال رسول الله لما ألقي إبراهيم عليه السلام في النار قال اللهم إنك واحد في السماء وأنا في الأرض واحد أعبدك

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu katanya: “Bersabda Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam: “Apabila dicampakkan Ibrahim alaihis salam ke dalam api dia berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau (Tuhan) Yang Maha Esa di langit dan aku berseorang menyembahmu di bumi”. [al-Uluww li al-Zahabi, Hasan].

Daripada Muawiyah bin al-Hakam al-Sulami radiallahu anhu katanya:

وَكَانَتْ لِى جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِى قِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِى آدَمَ آسَفُ كَمَا يَأْسَفُونَ لَكِنِّى صَكَكْتُهَا صَكَّةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَىَّ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلاَ أُعْتِقُهَا قَالَ « ائْتِنِى بِهَا ». فَأَتَيْتُهُ بِهَا فَقَالَ لَهَا « أَيْنَ اللَّهُ ». قَالَتْ فِى السَّمَاءِ.قَالَ « مَنْ أَنَا ». قَالَتْ أَنْتَ رَسُولُ اللَّهِ. قَالَ « أَعْتِقْهَا فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ ».

Maksudnya: “dan adalah bagiku seorang jariah yang memelihara kambingku di kawasan Uhud dan al-Jawaniah lalu aku dapati pada suatu hari seekor kambing yang dijaganya telah dibaham serigala dan aku ini seorang insan biasa aku berasa kecewa sebagaimana juga mansusia lain kecewa tetapi aku telah memukulnya (jariah tadi) lalu aku berjumpa Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam lalu baginda sangat murka akan perbuatanku itu. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, perlukah aku membebaskannya?”. Jawab baginda: “Bawalah dia kepadaku”. Lalu aku membawanya kepada Rasulullah. Baginda kemudian bertanya kepadanya: “Dimanakah Allah?” Jawabnya: “Di langit”. Tanya baginda lagi: “Siapakah aku?” Jawabnya: “Kamu Rasulullah”. Sabda baginda: “Bebaskan dia kerana dia seorang yang beriman”. [Muslim].

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa beriman bahawa Allah Taala bersemayam di atas ArasyNya di atas langit ke tujuh adalah daripada iman dan mengingkarinya merosakkan iman.

Konsep beriman dengan Istiwa’ Allah ini dijelaskan para ulama antaranya:

Imam Abu Hanifah rahimahullah berkata:

من أنكر أن الله عزوجل في السماء فقد كفر

Maksudnya: “Sesiapa yang ingkar bahawa Allah berada di langit (yakni atas Arasyh) maka dia telah kufur”. [al-Uluww lil Aliyyi al-Ghaffar, al-Zahabi].

Imam Rabiah al-Ra’yi menyatakan:

عن ابن عيينه قال سئل ربيعة عن قوله تعالى الرحمن على العرش استوى كيف استوى قال الاستواء غير مجهول والكيف غير معقول ومن الله الرسالة وعلى الرسول البلاغ وعلينا التصديق

Maksudnya: Daripada Ibn Uyainah katanya: “Ditanya kepada Rabi’ah berkenaan firman Allah (maksudnya): “al-Rahman yang bersemayam di atas Arasyh” –Taha:5- Bagaimanakah Dia bersemayam?” Jawab beliau: “Istiwa’ itu tidaklah majhul (ertinya diketahui maknanya) dan bagaimana tidaklah tergambar pada aqal dan daripada Allah itu risalah dan atas Rasul itu menyampaikan dan ke atas kita membenarkan”. [Isbat Sifatil Uluww, Abdullah bin Muhammad bin Qudamah al-Maqdisi, 1/114].

Nada yang sama juga diriwayatkan daripada murid beliau, Imam Malik bin Anas rahimahullah dan terdapat juga perkataan yang senada daripada Ummul Mukminin Ummu Salamah radiallahuanha.

Apabila telah diketahui bahawa Istiwa’ itu maklum yakni diketahui adanya kerana dikhabarkan dalam al-Qur’an dan al-Hadis dan maklum juga maknanya tetapi tidak diketahui bagaimana caranya maka apakah makna istiwa’ itu?

Berkata Imam al-Tabari rahimahullah dalam mentafsirkan ayat ke-2 surah al-Ra’du:

وأما قوله:(ثم استوى على العرش) فإنه يعني: علا عليه .

Maksudnya: “Adapun firman-Nya: (maksud) ‘Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy’ maka sesungguhnya maknanya adalah: “Meninggi Dia (Allah) di atasnya (Arasyh)”. [al-Tabari, 16/325].

عَنْ أَبِي الْعَالِيَةِ, فِي قَوْلِهِ:” ” ثُمَّ اسْتَوَى ” , يَقُولُ: ارْتَفَعَ”، وَرُوِِىِ عَنِ الْحَسَنِ وَالرَّبِيعِ بْنِ أَنَسٍ مِثْلُ قَوْلِ أَبِي الْعَالِيَةِ

Maksudnya: “Daripada Abu al-Aliyah rahimahullah dalam mentafsirkan firman Allah (maksudnya): “Kemudian dia bersemayam..” kata Abul Aliyah: “Berada di atas”. Dan diriwayatkan juga daripada al-Hasan, al-Rabi’ bin Anas seperti perkataan Abul Aliyah”. [Tafsir Ibn Abi Hatim, 10/338].

Imam al-Auzai rahimahullah menyatakan:

كنا والتابعون متوافرون نقول : إن الله تعالى ذكره فوق عرشه ، ونؤمن بما وردت السنة به من صفاته جل وعلا

Maksudnya: “Adalah kami dan para Tabiin sekaliannya berkata: Sesungguhnya Allah Taala berada di atas ArasyNya dan kami beriman dengan apa yang datang daripada Sunnah berkenaan SifatNya Jalla wa Ala”. [al-Asma’ wal Sifat, al-Baihaqi, 2/408].

Imam Bisyr bin Umar Rahimahullah berkata:

سمعت غير واحد من المفسرين يقولون الرحمن على العرش استوى على العرش إرتفع

Maksudnya: “Aku mendengar lebih daripada seorang dalam kalangan ulama tafsir menyatakan makna firman Allah (maksudnya): “al-Rahman bersemayam di atas Arasyh”, bersemayam di atas Arasyh itu maknanya meninggi di atasnya”. [al-Uluww li al-Zahabi,153].

Maka sabitlah Sifat Istiwa Allah atas ArasyNya itu bermakna meninggi Allah Taala di atas Arasy tanpa menyerupai mana-mana makhlukNya.

Allah Taala bersemayam di atas Arasyh bukan kerana Dia memerlukan Arasy bahkan kerana hikmah yang diketahuiNya jua sepertimana Dia mencipta manusia dan jin untuk beribadah kepadaNya bukanlah kerana Dia memerlukan kita untuk menyembahNya supaya Dia menjadi Tuhan bahkan Allah adalah Tuhan sebelum Alam ini diciptaNya dan akan kekal Tuhan bagi alam ini selama-lamanya, tetapi Dia mencipta manusia dan jin lalu memerintahkan mereka beribadat kepadaNya kerana hikmah yang diketahuiNya.

Wallahua’lam.